Allah Ta'ala berfirman:
"Dan barangsiapa yang mengagungkan peraturan-peraturan suci dari Allah, maka itulah yang
terbaik baginya di sisi Tuhannya." (al-Haj: 30)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Jikalau engkau memberikan pertolongan kepada agama Allah maka Allah pasti memberikan
pertolongan kepadamu semua dan menetapkan kaki-kakimu." (Muhammad: 7)
Dalam bab ini Hadis-hadisnya termasuklah Hadis Aisyah yang terdahulu dalam bab
Memaafkan.
647. Dari Abu Mas'ud iaitu 'Uqbah bin 'Amr al-Badri r.a., katanya: "Ada seorang lelaki
datang kepada Nabi s.a.w., lalu berkata: "Sesungguhnya saya nescayalah membelakangkan
diri dari solat subuh - yakni tidak ikut berjema'ah - kerana si Fulan itu, kerana ia
memanjangkan bacaan suratnya untuk kita."
Maka saya - Abu Mas'ud - sama sekali tidak pernah melihat Nabi s.a.w. marah dalam
nasihatnya lebih daripada marahnya pada hari itu. Beliau s.a.w. bersabda: "Hai sekalian
manusia, sesungguhnya di antara engkau semua ada orang-orang yang menyebabkan larinya
orang lain. Maka siapa saja di antara engkau semua yang menjadi imam orang banyak -
dalam bersembahyang - hendaklah ia menyingkatkan bacaannya, sebab sesungguhnya di
belakangnya itu ada orang yang sudah tua, anak kecil dan ada pula orang yang segera
hendak mengurus keperluannya." (Muttafaq 'alaih)
648. Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. datang dari berpergian
dan saya telah memberikan tutup dalam rumahku dengan tabir yang tipis sekali, di situ ada
beberapa gambar boneka. Setelah Rasulullah s.a.w. melihatnya lalu dirosaknya dan
berubahlah warna wajahnya serta bersabda:
"Hai Aisyah, sesangat-sangatnya manusia dalam hal seksanya di sisi Allah pada hari
kiamat ialah orang-orang yang menyamai dengan apa-apa yang diciptakan oleh Allah."
(Muttafaq 'alaih)
649. Dari Aisyah radhiallahu 'anha pula bahawasanya orang-orang Quraisy
disedihkan oleh peristiwa seorang wanita dari golongan Makhzum yang mencuri - dan wajib
dipotong tangannya. Mereka berkata: "Siapakah yang berani memperbincangkan soal wanita
ini dengan Rasulullah s.a.w.?" Kemudian mereka berkata pula: "Tidak ada rasanya seseorang
pun yang berani mengajukan perkara ini - maksudnya untuk meminta supaya dimaafkan
dan hukuman potong tangan diurungkan - melainkan Usamah bin Zaid, iaitu kecintaan
Rasulullah s.a.w. Usamah lalu membicarakan hal tersebut pada beliau s.a.w., kemudian
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau hendak meminta tolong dihapuskannya sesuatu
had - hukuman - dari had-had yang ditentukan oleh Allah Ta'ala?" Seterusnya beliau berdiri
dan berkhutbah: "Hanyasanya yang menyebabkan rosak akhlaknya orang-orang yang
sebelummu semua itu ialah karena mereka itu apabila yang mencuri termasuk golongan
yang mulia di kalangan mereka, orang tersebut mereka biarkan saja-yakni tidak diterapi
hukuman apa-apa, sedang apabila yang mencuri itu orang yang lemah - miskin dan tidak
berkuasa, maka mereka laksanakanlah hadnya. Demi Allah yang mengurniakan keberkahan,
andaikata Fathimah puteri Muhammad itu mencuri nescaya-lahsaya potong pula
tangannya,"-yakni sekalipun anak sendiri juga harus diterapi hukuman sebagaimana orang
lain. (Muttafaq 'alaih)
650. Dari Anas r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. melihat ada hingus di arah kiblat, maka
hal itu dirasakan amat berat sekali dalam hatinya, sehingga tampaklah di wajah beliau itu.
Selanjutnya beliau berdiri dan menggaruknya - yakni menggosok-gosoknya - dengan tangan
nya - dan hingus itu dapat hilang sebab telah kering. Kemudian beliau s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya apabila seseorang di antara engkau semua itu berdiri dalam solatnya, maka
sebenarnya ia sedang bermunajat kepada Tuhannya di kala itu dan bahawasanya Tuhannya
itu di antara dirinya dan antara kiblat. Maka dari itu janganlah seseorang di antara engkau
semua itu berludah di arah kiblat, tetapi berludahlah di arah kiri atau di bawah kakinya."
Seterusnya beliau s.a.w. mengambil hujung selendangnya, lalu berludah di situ, kemudian
membolak-balikkan sebahagian selendang itu dengan bahagian lainnya - yakni digosok-
gosokkan ludah tadi dengan kain selendang nya berulang kali. Beliau s.a.w. lalu bersabda:
"Atau mengerjakan sedemikian ini." (Muttafaq 'alaih)
Adapun perintah berludah di arah kiri atau di bawah kaki itu apabila orang tersebut
bersembahyangnya tidak di dalam masjid. Tetapi jikalau di dalam masjid, maka janganlah
berludah melainkan wajib diletakkan dalam pakaiannya sendiri.
Riyadhus Shalihin – Taman Orang-orang Shalih
Terjamahan dari Kitab Riyadush Shalihin, Al-Quran Dan Kumpulan Hadits, Situs Pondok Pesantren, Artikel-artikel Islami.